Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Philip Uja, 42, semasa dua kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Caroline Bee Majanil.

Mahkamah kemudian menetapkan kes tersebut disebut semula pada 2 Oktober depan sementara menunggu laporan penuh bedah siasat dan kimia.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian Nurnia Azalea Priscilla Edward, 26.

Manakala, bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(4) Kanun Keseksaan kerana merogol sehingga mengakibatkan kematian mangsa.

Jika sabit kesalahan tuduhan pertama, tertuduh bakal berdepan dengan hukuman gantung sampai mati, manakala tuduhan kedua memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 15 tahun dan tidak lebih dari 30 tahun bersama 10 sebatan.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan kedua-dua perbuatan itu di sebuah bilik tidak bernombor di Jalan Tiong Hua di sini antara pukul 8 malam pada 1 Ogos hingga 2.30 petang pada 2 Ogos lalu, sebelum mayat mangsa ditemui.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Tajul Aariffin Musa, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Kosmo! Online sebelum ini melaporkan mangsa yang bertugas di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Cawangan Pusat Transformasi Bandar (UTC) Sibu ditemui mati dengan tangan dan kakinya diikat di sebuah bilik sewa oleh rakan sekerjanya pada pukul 3.45 petang, 2 Ogos lalu.

Suspek kemudian berjaya ditahan polis di sebuah rumah panjang Nanga Bilat, Julau pada 7 Ogos lalu untuk membantu siasatan. - K! ONLINE