Dalam kejadian pada pukul 5 petang itu, kesemua pemandu dan penumpang empat buah kenderaan yang berada dalam kesesakan lalu lintas tersebut sempat menyelamatkan diri selepas melihat pokok berkenaan hampir tumbang.

Kosmo! difahamkan, kejadian tersebut telah menyebabkan kesesakan teruk sepanjang lima kilometer dari arah pusat bandar menghala ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang.

Pegawai Perhubungan Awam Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Selangor, Siti Ramizah Mohd. Khalid berkata, pihaknya telah menerima panggilan kecemasan daripada orang awam yang berada di lokasi kejadian pada pukul 5.26 petang.

“Bertindak atas laporan, APM telah menghantar tujuh anggota ke lokasi kejadian bagi kerja-kerja memotong pokok tersebut yang menghempap empat buah kenderaan.

“Kita juga terpaksa menutup jalan buat sementara waktu bagi kerja-kerja pembersihan dan operasi tamat sepenuhnya pada pukul 8 malam,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini. - K! ONLINE