Mangsa yang terselamat, Nur Annisa Abd. Aziz, 27, berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 11.10 malam itu pemandu tersebut memandu bas berkenaan dalam keadaan baik dan tidak terlalu laju.

"Saya sempat melelapkan mata kira-kira lima minit sebelum sebelum tersedar apabila terlihat cahaya yang terang dan terdengar jeritan rakan-rakan yang duduk di bahagian belakang bas.

“Saya ketika itu berada di tempat duduk belakang pemandu di bahagian kiri tidak dapat berbuat apa-apa memandangkan rakan-rakan di bahagian belakang telah menghempap saya sejurus bas tersebut terjunam,” katanya ketika ditemui di Hospital Serdang di sini.

Nur Annisa yang mengalami kecederaan pada bahu kiri susulan kemalangan tersebut bagaimanapun tidak dapat memastikan bagaimana kemalangan itu boleh berlaku ekoran lokasi kejadian yang gelap. 

Sementara itu, kakak kepada Nur Annisa, Fateha Abd. Aziz berkata, dia hanya dimaklumkan mengenai kejadian kira-kira pukul 6 pagi tadi. 

“Saya telah dihubungi pihak syarikat yang memaklumkan tentang keadaan adik saya dan saya terus menghubungi ibu serta ayah yang tinggal di Tanjung Malim, Perak. 

“Setakat ini, adik saya masih perlu menjalani rawatan dan keluarga kami masih belum dihubungi pihak syarikat untuk memaklumkan tentang bantuan serta tindakan yang akan diambil oleh mereka,” jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook yang hadir melawat mangsa cedera di Hospital Serdang di sini memaklumkan telah mengarahkan siasatan dilakukan ke atas syarikat pemilik bas berkenaan. 

"Jabatan Pengangkutan Jalan dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) telah diarahkan untuk melakukan siasatan serta audit keselamatan ke atas syarikat berkenaan esok. 

"Sekiranya terdapat sebarang kesalahan atau salah laku melibatkan peraturan keselamatan jalan raya yang dilakukan syarikat berkenaan, lesen perkhidmatan mereka boleh digantung," katanya pada satu sidang akhbar di sini. - K! ONLINE