Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Lim Bak Phai berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 4.45 pagi itu, mangsa, Muhamad Azhar Abdul Razak, 43, sedang memandu sebuah bas ekspres bersama 30 orang penumpang menuju ke Shah Alam dari Kedah,

"Sebaik tiba di lokasi kejadian bas ekspres berkenaan telah merempuh bahagian belakang sebuah lori tangki yang membawa muatan susu getah ketika dipandu perlahan di lorong kiri lebuh raya.

"Akibat daripada rempuhan tersebut mangsa telah tersepit lalu meninggal dunia di bahagian tempat duduk pemandu bas berkenaan dan mengakibatkan seorang penumpang cedera parah manakala sembilan lagi mengalami kecederaan ringan," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Menurut Bak Pai, pemandu lori tangki berusia 33 tahun yang berasal dari Pulau Pinang itu bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan namun telah ditahan kerana mempunyai rekod lampau.

"Semakan yang dilakukan mendapati lelaki berkenaan mempunyai rekod jenayah lampau yang disiasat dibawah Seksyen 406 Kanun Keseksaan kerana pecah amanah.

Jelas Bak Phai, kesemua mangsa yang cedera kemudiannya dikejarkan ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan lanjut.

"Siasatan lanjut berhubung kejadian masih diteruskan dan kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.  -Bernama