Majistret Nur Sulehan Abd. Rahman memutuskan demikian setelah tertuduh, Goh Jin Fong, 52, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, Jin Fong didakwa dengan sewenang-wenangnya dan tanpa sebab telah melakukan sesuatu tindakan yang menyebabkan kesakitan dan penderitaan yang tidak wajar kepada haiwan tersebut yang berwarna hitam dan coklat.

Perbuatan itu didakwa dilakukannya di dalam sangkar di hadapan rumah No. 76, Jalan Mutiara Emas 2/7 Taman Mount Austin di sini pada 22 Ogos 2017.

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 44(1)(d) Akta Binatang 1953 (Semakan 2006) Akta 647 dan dibacakan bersama Akta Binatang 2013 (Akta A1452) dan boleh dihukum di bawah Sekysen 44(1) Akta yang sama memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM50,000 dan penjara maksimum satu tahun atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Raya Jabatan Veterinar, Mohd. Faiz Ajis manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Difahamkan, Jin Fong bertindak mengikat pemberat pada leher anjingnya sehingga mengakibatkan haiwan tersebut mengalami kecederaan.

Terdahulu, tertuduh memohon mahkamah mengurangkan denda kerana dengan alasan mempunyai tanggungan serta mengaku menyayangi anjing peliharaannya.

Nur Sulehan kemudian menjatuhkan hukuman denda itu dan mengarahkan tertuduh dipenjara dua bulan jika gagal membayar denda itu.

Jin Fong membayar denda tersebut. - K! ONLINE