Dalam kejadian pada pukul 9.40 malam itu, empat beranak yang menaiki Mitsubishi Storm tersebut berjaya diselamatkan beberapa pemancing lain namun Abdul Bari Arshad, 31, berasal dari Kampung Panji di sini didapati tidak berenang semula ke tebing sungai.

Ketua Cawangan Pengurusan Operasi dan Balai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Terengganu, Mazimi Mohamad berkata, kejadian berlaku selepas seorang wanita berusia 50-an mahu mengalihkan kenderaan pacuan empat rodanya yang diletakkan berhampiran tebing sungai di Pulau Warisan.

"Pemandu tersebut tidak menyedari gearnya berada dalam posisi mengundur menyebabkan kenderaan itu terus menyelungsur ke dalam sungai sebaik enjin dihidupkan.

"Situasi itu menimbulkan panik terutama suami pemandu wanita terbabit yang berada di luar kenderaan sewaktu kejadian. Abdul Bari dan beberapa rakan-rakan lain yang sedang memancing segera terjun ke dalam sungai untuk menghulurkan bantuan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mazimi berkata, kesemua mangsa termasuk tiga wanita dan seorang kanak-kanak yang berada di dalam Mitsubishi Storm berjaya diselamatkan ke tebing sungai yang jaraknya hampir 50 meter dari lokasi kenderaan itu tenggelam namun Abdul Bari tidak kelihatan. - K! ONLINE