Beliau berkata, ‘bar ribbon’ yang dikepilkan pada pakaian seragamnya adalah berdasarkan Perintah Tetap Ketua Pesuruhjaya SPRM Bab A (Dasar), Bil 1 Tahun 2012 yang mengarahkan bahawa seseorang Ketua Pesuruhjaya berdasarkan jawatannya dikehendaki memakai ‘bar ribbon’ seperti disenaraikan.

Bagaimanapun katanya, terdapat sedikit kekhilafan dalam ‘bar ribbon’ terbabit yang sudah diperbetulkan.

“Bar ribbon ini tidak harus dikelirukan dengan pingat atau darjah kebesaran yang dikurniakan dari pihak Istana, sama ada di peringkat Persekutuan mahupun negeri.

“Butiran lain di atas baju seragam saya adalah lencana-lencana pangkat yang mana saya dikehendaki memakainya selaku Ketua Pesuruhjaya dan adalah berdasarkan perintah tetap,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, Latheefa berkata, prioriti segera beliau sejak mengambil alih tugas adalah melibatkan beberapa kes rasuah yang serius dan bukan butiran pemakaian seragam.

"Secara telus saya mengaku, saya baru sahaja mempelajari berkenaan lencana pangkat, bar ribbon dan pemakaian seragam.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada mereka yang telah menunjukkan minat yang tinggi terhadap pakaian seragam saya," ujarnya.

Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa sebelum ini meminta SPRM memperincikan bintang kebesaran pada pakaian seragam dipakai Latheefa.

Pertikaian itu tercetus selepas gambar Latheefa yang memakai pakaian seragam Ketua Pesuruhjaya SPRM menghadiri majlis perbarisan hormat anggota agensi itu tular di media sosial. - K! ONLINE