Mayat Khairul Anuar Hashim,26, berasal dari Kampung Kemin, Kuala Klawang, Negeri Sembilan itu ditemukan pukul 2.35 pagi dengan lengkap berpakaian selepas dilaporkan hilang pukul 10 malam. 

Difahamkan, Khairul atau lebih mesra dipanggil Boy lemas akibat kekejangan otot semasa berenang mengambil bola yang terjatuh di dalam tasik itu sewaktu perlawanan antara kelabnya dan SD FC di padang berdekatan. 

Ketua Cawangan Pengurusan Operasi dan Balai, Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Alimaddia Bukri berkata, seramai 37 anggota dan pegawai termasuk Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Shah Alam dan Pelabuhan Klang dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan 10.11 malam. 

Katanya, kedalaman tasik itu adalah kira-kira tiga meter. 

"Operasi mencari dan menyelamat menghadapi sedikit kesukaran berikutan dasar tasik itu yang berselut dan cuaca sedikit gelap.

"Mangsa ditemui kira-kira 15 meter dari tebing tasik pukul 2.35 pagi sebelum mayatnya di hantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk proses bedah siasat," katanya. - K! ONLINE