Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia dan Sukan Perak, Howard Lee Chuan How, berkata laporan telah diterima Pejabat Kesihatan Daerah Manjung daripada Angkatan Tentera Lumut pada 7 September lalu.

Katanya, atlet berumur 16 tahun itu mengalami gejala demam pada 2 September dan bengkak di kedua-dua leher keesokannya.

"Berdasarkan rekod, atlet wanita itu mempunyai sejarah kontak (berhubungan) dengan kes disyaki beguk semasa menjalani latihan di Sabah pada pertengahan bulan Ogos lalu dan telah mendapat rawatan di sebuah klinik di Sabah," katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata siasatan lanjut mendapati 11 atlet futsal Sabah dikesan mengalami gejala jangkitan saluran pernafasan yang ringan dan telah diberikan rawatan serta diasingkan untuk pemantauan status kesihatan.

"Atlet yang disyaki mengalami jangkitan saluran pernafasan tetapi diagnosisnya belum muktamad dan kami telah kuarantinkan beliau manakala 11 lagi atlet dinasihatkan supaya tidak bercampur atau bergaul dengan atlet-atlet lain," katanya.

Sehubungan itu, Howard berkata acara sukan futsal wanita bagi kontinjen Sabah yang sepatutnya bermula hari ini ditunda Selasa (11 September) bagi mendapatkan kesemua keputusan ujian saringan yang dijalankan terhadap kesemua 11 atlet.

"Kami juga telah membincangkan hal ini secara mendalam dan sekiranya perlu, kelonggaran akan dibuka untuk pertukaran atlet," katanya.

Sukma 2018 akan berlangsung dari 12 hingga 22 September ini dengan mempertandingkan sebanyak 427 pingat emas melibatkan 29 jenis sukan dan 39 venue di 12 daerah seluruh Perak.

Perak kali kedua menjadi tuan rumah Sukma yang mana kali terakhir diadakan 24 tahun lalu. - Bernama