Ibu Allahyarham, Nor Hasimah Shaffir, 58, berkata, anak kelima daripada enam beradik itu telah melakukan persiapan dengan membeli beberapa barangan hantaran bagi meminang gadis itu dikenali Suzana yang merupakan seorang guru di Johor.

Katanya, segala barangan itu dibeli hasil pendapatan Allahyarham yang juga dikenali Boboy sebagai kerani kontrak di Indah Water Konsortium (IWK).

"Dia bekerja keras bagi memenuhi impian tersebut dalam masa sama melanjutkan pelajaran separuh masa di peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam bidang pentadbiran di Universiti Teknologi Mara (UiTM).

"Bakal tunangnya itu juga terkejut akan kejadian itu dan kini berada di kampung untuk persiapan pengebumian jenazah di Tanah Perkuburan di Kampung Tembun, Jelebu," katanya ketika ditemui bilik mayat Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini hari ini.

Sementara itu, pengurus kelab Cheras Raptors FC, Ahmad Yani Ismail, 47, ketika dihubungi Kosmo! Online memberitahu, arwah merupakan pemain kelab tersebut yang ketika kejadian beriadah dengan bermain bersama pasukan Sarban FC.

Ujarnya, Allahyarham yang bermain di posisi penyerang disifatkan sebagai merendah diri dan amat disenangi oleh para pemain sejak menyertai kelab tersebut enam bulan lalu.

"Arwah banyak menjaringkan gol penting untuk Cheras Raptor sepanjang peringkat playoff dan pusingan akhir Kejuaraan Liga Selangor tahun lalu," katanya. - K! ONLINE