Tarikh berkenaan diwartakan sebagai cuti umum sempena Hari Keputeraan rasmi Yang di-Pertuan Agong bagi tahun ini.

Acara sambutan dimulakan dengan Majlis Bacaan Yasin dan Doa Selamat yang akan diadakan esok selepas solat Maghrib di Masjid Negara.

Ini diikuti Khutbah Khas dan Solat Jumaat yang juga akan berlangsung di Masjid Negara pada Jumaat.

Pada 8 September, Yang di-Pertuan Agong dijadual menyampaikan titah sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Seri Paduka yang akan disiarkan secara langsung melalui siaran televisyen dan radio di seluruh negara pada pukul 9.00 malam.

Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan di Istana Negara pada 9 September adalah acara kemuncak sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Seri Paduka dan diikuti dengan Majlis Jamuan Teh Diraja pada sebelah petangnya.

Pada 12 September pula akan berlangsungnya Istiadat Mengarak Panji-Panji Yang di-Pertuan Agong di Dataran Pahlawan Negara, Putrajaya.

Dalam pada itu, Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut dijadual berangkat ke beberapa acara berasingan iaitu melawat ke Taman Sinar Harapan Ziyad Zolkefli di Cheras pada 11 September.

Tunku Azizah turut dijadual berangkat ke Majlis Santapan Mesra Raja Permaisuri Agong bersama kanak-kanak di Istana Negara pada tarikh yang akan dimaklumkan kemudian. - Bernama