Tuanku Syed Sirajuddin bertitah, baginda masih tidak mengenali kebanyakan wakil rakyat yang dipilih di negeri ini.

“Sekurang-kurangnya, berilah beta peluang untuk mengenali wakil-wakil rakyat, barulah beta boleh membuat keputusan (melantik Menteri Besar Perlis).

"Beta tahu ramai rakyat Perlis yang tertunggu-tunggu Menteri Besar yang baharu. Berilah peluang beta beberapa hari atau minggu,” titah baginda ketika berangkat mencemar duli merasmikan Perkampungan Sunnah Siri Kelima di Masjid Alwi di sini malam tadi.

Turut berangkat Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Dalam pada itu, Tuanku Syed Sirajuddin bertitah, baginda berharap Tun Dr. Mahathir Mohamad yang baharu sahaja dilantik sebagai Perdana Menteri dapat melakukan yang terbaik untuk memajukan negara.

"Tahniah kepada Pakatan Harapan (PH) yang baru sahaja menang. Ini (keputusan memilih kerajaan PH) adalah apa yang rakyat mahu dan mendapat sokongan rakyat.

“Di Perlis, kita telah menjadi negeri pembangkang dan beta menyeru supaya kita menerima hakikat ini kerana ia juga adalah kehendak rakyat,” titah baginda.

Kelmarin, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim mengumumkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tambun Tulang, Datuk Ismail Kassim sebagai calon Menteri Besar yang baharu.

Ismail merupakan adik bongsunya.

Difahamkan, tiga nama disenaraikan Shahidan untuk menjadi Menteri Besar Perlis iaitu Ismail, ADUN Santan, Azizan Ismail dan ADUN Simpang Empat, Nurulhisham Yaakob.

Dalam perkembangan berkaitan, penyandang jawatan Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man ketika ditemui pemberita di sini malam semalam memberitahu beliau tidak mengetahui perkara itu.

"Keputusan menentukan siapa Menteri Besar adalah hak mutlak Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail," kata Azlan.

BN memenangi 10 daripada 15 kerusi DUN di Perlis membolehkan ia membentuk kerajaan negeri. - K! ONLINE