Dalam serbuan pertama pada pukul 7.30 malam, penuntut tahun kedua dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Sumber Manusia berusia 24 tahun itu ditahan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di hadapan lif tingkat satu sebuah apartmen di  di Lorong Minyak Gas di sini.

Dalam serbuan kedua di tingkat 11 apartmen sama polis berjaya menahan seorang wanita berusia 36 tahun dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang yang sedang leka melayan seorang pelanggan lelaki.

Susulan itu, polis melakukan serbuan ketiga di sebuah apartment di Jalan Post Office Lama di sini dan menahan dua wanita berusia 27 tahun dan 40 tahun masing-masing berasal dari Sarawak dan Melaka.

Pegawai Turus D7 Kelantan, Asisten Superintendan Mat Zol Ismail berkata, lelaki yang berasal dari Cheras, Kuala Lumpur itu bertindak sebagai bapa ayam menguruskan pelanggan yang hendak melanggan pelacur dalam jagaannya.

"Bersamanya kita merampas sebuah relefon bimbit, segugus kunci apartmen serta satu beg mengandungi wang tunai bernilai RM1,900.

"Selain itu, bersama tiga wanita tersebut kita merampas 44 kondom, minyak pelincir, tiga telefon bimbit serta wang tunai RM2,925 dipercayai wang hasil pelacuran," katanya ketika ditemui selepas operasi tersebut malam tadi.

Mat Zol berkata, modus operandi yang digunakan oleh kumpulan ini ialah dengan menawarkan perkhidmatan seks melalui aplikasi WeChat di rumah-rumah tumpangan di sekitar Kota Bharu.

"Siasatan juga mendedahkan tiga wanita ini menjalankan aktiviti pelacuran secara persendirian atau freelance. Mereka akan bergerak dari satu negeri ke negeri yang lain bergantung kepada permintaan.

"Mereka akan meminta wang RM300 bagi sekali perkhidmatan. Selepas tawar-menawar melalui WeChat, pelanggan yang bersetuju perlu membayar deposit dahulu sebelum diberikan lokasi pertemuan untuk melakukan hubungan seks," katanya. - K! ONLINE