Dalam kejadian kira-kira 11.30 pagi itu, mangsa dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumah dari sekolahnya sebelum terlibat dalam kemalangan tersebut.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd. Yussof berkata, siasatan awal mendapati mangsa telah terjatuh akibat digesel sebuah lori sebelum maut digilis.

"Kita mendapati pemandu lori warga tempatan berusia 38 tahun yang membawa muatan beras telah melanggar mangsa dari arah belakang.

"Akibat pelanggaran tersebut, mangsa telah terjatuh ke bawah lori berkenaan sebelum digilis. Mangsa yang parah disahkan maut di lokasi kejadian, " katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Ahmad Dzaffir, selepas kemalangan tersebut, pemandu lori berkenaan telah melarikan diri kerana bimbang dicederakan orang awam.

"Bagaimanapun, pemandu berkenaan telah hadir di Balai Polis Kajang untuk membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut.

"Kita telah merakam percakapan dan ujian saringan air kencing suspek didapati negatif. Kita juga telah mengambil sampel darah suspek di Hospital Kajang," ujarnya.

Tambahnya, pemandu lori berkenaan akan direman di Mahkamah Kajang esok.

"Kes siasatan telah dibuka dan siasatan lanjut kemalangan dijalankan dibawah Seksyen 41(1) APJ 1987 kerana memandu kenderaan secara melulu serta menyebabkan kematian. - K! ONLINE