Dalam kejadian kira-kira pada pukul 2.30 pagi itu, mangsa, Muhamad Naqib Zubair Zamrullizam, 15, meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah. 

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Ng. Kong Soon berkata, pihaknya menerima maklumat awal mengenai kejadian tersebut pada pukul 2.34 pagi. 

“Siasatan mendapati remaja yang berasal dari Kampung Kepayang, Ipoh itu dipercayai sedang menghala ke Gopeng menunggang sebuah motosikal. 

“Tiba di tempat kejadian, motosikal yang ditunggangnya melanggar seekor kerbau sebelum mengalami kecederaan parah dan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online sebentar tadi. 

Tambah Kong Soon, kerbau tersebut bagaimanapun tiada di tempat kejadian selepas tragedi tersebut berlaku dipercayai telah melarikan diri. 

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Raja Perempuan Bainun, Ipoh untuk proses bedah siasat. 

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. - K! ONLINE