Dalam kejadian kira-kira pada pukul 2.30 petang itu, mangsa, Mohamad Husaini Sazali, 19, yang berasal dari Sungai Wangi, Ayer Tawar itu meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah. 

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Mohamad Zainal Abdullah berkata, siasatan awal mendapati kereta jenis Proton Waja dipandu Imam Masjid Kampung Jawa berusia 51 tahun dalam perjalanan pulang ke rumah di Kampung Jawa dari arah Bota Kanan ke Teluk Intan. 

“Mangsa bersama rakannya berusia 19 tahun yang menunggang motosikal jenis Yamaha Lagenda berada di belakang kereta tersebut. 

“Tiba di tempat kejadian, ketika kereta berkenaan mahu membelok masuk ke simpang di sebelah kanan, motosikal yang ditunggang mereka telah melanggar bahagian hadapan sebelah kanan kereta tersebut sebelum terbabas ke dalam parit di tepi jalan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! sebentar tadi. 

Tambah Mohamad Zainal, akibat kemalangan tersebut, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala rakannya mengalami kecederaan ringan di bahagian kaki. 

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Changkat Melintang untuk proses bedah siasat manakala rakannya turut menerima rawatan di hospital sama. 

“Pemandu Proton Waja pula tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya. 

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - K! ONLINE