Tertuduh, Ahmad Faisal Omar, 19, didakwa menyebabkan kematian Nur Alya Damia Mohd. Hairi, 19, antara pukul 8.30 malam hingga 10.30 malam di tepi jalan Taman PD Permata, Lukut di sini.

Dia yang tiba di Mahkamah Majistret pagi ini mengangguk faham selepas pertuduhan keatasnya dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Siti Khairiah Abdul Razak.

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan. 

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, A. Ashmini, manakala tertuduh diwakili peguam Diar Isda Yazmin. 

Kosmo! pada 26 Mei lalu melaporkan seorang pelajar wanita Kolej Vokasional Port Dickson ditemui mati dengan kesan jerut pada leher dekat kawasan semak di Taman PD Permata di sini kira-kira pukul 10.30 malam.

Mayat mangsa yang berasal dari Klang, Selangor ditemui oleh seorang penduduk yang ingin membuang sampah di kawasan tersebut.

Berikutan itu, polis menahan seorang remaja lelaki dipercayai bekas teman lelaki mangsa bagi membantu siasatan. - K! ONLINE