Muhammad Syafiq Farhan Roshisam, 18,  penuntut Diploma Pereka Grafik ditemui orang awam terdampar di pesisir pantai kira-kira 500 meter dari lokasi dia berenang kira-kira pukul 1 petang. 

Rakan mangsa yang ingin dikenali sebagai Man berkata, ketika kejadian, mereka berdua dipukul ombak dan mangsa sempat berpaut pada bahunya sebelum hilang di dalam air. 

"Saya cuba pegang tangan dia (Muhammad Syafiq) tapi terlepas kerana ombak terlalu kuat. Saya juga hampir lemas tetapi dapat mengapungkan badan sambil menjerit meminta tolong sebelum dapat naik ke pantai. 

"Saya kemudian meminta pertolongan orang awam untuk menghubungi bomba (operasi menyelamat) sebelum Muhammad Syafiq ditemui terdampar di pesisir pantai," katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Melaka di sini hari ini. 

Cerita Man, Muhammad Syafiq bersungguh-sungguh mengajaknya berenang sejak dua hari lalu dan tidak menyangka itu adalah permintaan terakhirnya daripada rakan rapatnya. 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad memberitahu kes tersebut diklasifikasi sebagai mati mengejut. - K! ONLINE