Dalam kejadian kira-kira pukul 6 petang itu, mangsa, Mohammad Hakimie Ifwat Sabaruddin, 18, (Gambar kecil) yang menunggang motosikal jenis Honda RS150 maut di tempat kejadian manakala rakannya, Amzar Amran, 18, cedera parah.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd. Ismail Ibrahim berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila motosikal dinaiki dua mangsa itu bergesel dengan sebuah motosikal lain jenis skuter dinaiki dua remaja lelaki.

"Penunggang skuter tersebut dikatakan membrek secara tiba-tiba dan mengelak ke kiri sebelum bergesel dengan motosikal ditunggang Mohammad Hakimie.

"Mohammad Hakimie dan rakannya itu kemudian terjatuh di atas lebuh raya manakala penunggang skuter dan pemboncengnya terselamat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kata beliau, Mohammad Hakimie meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada anggota badan manakala Amzar dikejarkan ke Hospital Jitra untuk mendapatkan rawatan.

"Mayat dibawa ke hospital sama untuk dibedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," tambahnya. - K! ONLINE