Dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 6.15 petang itu, mangsa, Rosli Mohd., 42, mengalami lecur pada bahagian muka dan tangan kanan. 

Menurut bapa mangsa, Mohd. Ali, 72, yang berasal dari Kampung Baru Kuala Abang, Dungun, dia dimaklumkan mengenai insiden berkenaan oleh cucunya yang turut berada di lokasi kejadian. 

“Cucu turut bekerja di tempat yang sama dengan anak lelaki saya. Ketika kejadian mereka baru sahaja selesai menjalankan beberapa kerja dan sedang berkemas untuk pulang. 

“Saya difahamkan anak lelaki saya berada di bahagian tangki paling atas manakala pekerja yang lain di bahagian bawah. Dia mungkin disambar api ketika sedang turun,” katanya ketika ditemui pemberita di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini hari ini. 

Terdahulu mangsa dikejarkan ke Hospital Kemaman sebelum dihantar ke HSNZ malam tadi bagi menerima rawatan lanjut. 

Jelas Mohd., Rosli merupakan anak kelima daripada 15 adik-beradik dan menetap di Kampung Nyior, Paka bersama isteri serta empat anaknya yang berusia lingkungan 13 hingga dua tahun. 

“Selepas mengetahui kejadian yang menimpa mangsa, saya berasa sedih dan khuatir mengenai keadaannya. Ketika melawatnya di wad, dia boleh bercakap seperti biasa dan menceritakan serba sedikit mengenai insiden tersebut. 

“Rosli mengalami lecur pada muka dan tangan kanannya sehingga paras siku,” ujarnya. 

Kosmo! hari ini melaporkan dua buah tangki yang menyimpan minyak mentah milik sebuah syarikat di kawasan perindustrian Telok Kalong terbakar sehingga menyebabkan sebahagian besar kawasan kilang penapisan minyak mentah tersebut diselubungi asap hitam dan tebal. - K! ONLINE