Mangsa, Mohamad Saiful Ashnar, 31, dari Negeri Sembilan ditemui mati di dalam kapal tersebut oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) pada pukul 1.45 petang.

Pengarah Maritim Malaysia (APMM) DM13 Miri, Kepten Maritim, Md Fauzi Othman berkata, mayat lelaki malang itu ditemui di bahagian perut kapal tersebut setelah dia disyaki terperangkap dalam kebakaran semalam.

Katanya, mangsa dipercayai tidak sempat terjun ke laut untuk menyelamatkan diri setelah terperangkap.

"Mayat mangsa kemudian dibawa ke Jeti Marina Miri di sini sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

"Operasi SAR yang memasuki hari kedua hari ini ditamaatkan sepenuhnya pada pukul 3.10 petang," katanya ketika dihubungi hari ini.

Semalam, kapal MV Geos yang membawa 39 anak kapal itu dilaporkan terbakar pada pukul 3.15 pagi di perairan Kuala Baram, kira-kira 10 kilometer dari Pantai Kuala Baram di sini.

Dalam kejadian itu, Mohamad Saiful dilaporkan hilang, dua anak kapal mengalami kecederaan, manakala 36 lagi selamat. - K! ONLINE