Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, mangsa, Mohamad Fakhri Mohd. Nawi, 25, meninggal dunia di tempat kejadian setelah mengalami cedera parah di bahagian kepala serta tubuhnya akibat digilis tayar lori tersebut.

“Berdasarkan siasatan pegawai penyiasat kes, dalam kejadian kira-kira pukul 8.20 pagi itu, mangsa cuba memintas lori seberat tiga tan itu dari sebelah kiri yang dipandu oleh seorang lelaki warga tempatan dari arah plaza tol Gombak menuju ke pusat bandar.

“Cubaan tersebut tidak berjaya apabila motosikal jenis Yamaha LC berwarna biru itu telah terlanggar di bahagian tayar belakang lori tersebut sehingga menyebabkan mangsa terjatuh dan digilis lori itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Zulkefly menambah, akibatnya mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas paramedik Hospital Kuala Lumpur (HKL) yang dikejarkan ke lokasi kejadian tidak lama kemudian.

“Mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan tubuhnya manakala pemandu lori itu tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Mayatnya telah dibawa ke HKL untuk tujuan dibedah siasat dan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang menyebabkan kematian kerana memandu dengan melulu dan membahayakan,” ujarnya. - K! ONLINE