Dalam kemalangan pukul 4.30 petang itu, M. Subendren, 26, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di kepala dan badan selepas tersepit di dalam kereta jenis Perodua Kelisa. 

Lebih menyayat hati, kenderaan dipandunya itu terhimpit di antara dua buah treler dari arah depan dan belakang. 

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, kejadian dikatakan berlaku apabila mangsa bersama empat buah kenderaan lain sedang berhenti di lampu isyarat merah di lorong kanan jalan berkenaan. 

Katanya, secara tiba-tiba datang sebuah lori tangki dari arah arah belakang sebelah kiri memasuki lorong kanan melanggar bahagian belakang lori tanker di hadapannya yang berhenti akibat lampu isyarat merah. 

"Keadaan itu mengakibatkan empat buah kenderaan lagi di kawasan itu turut dilanggar dengan Perodua Kelisa dipandu Subendren terhimpit sehingga remuk di antara dua treler. 

"Impak kejadian itu mengakibatkan Subendren meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di kepala dan badan," katanya ketika dihubungi Kosmo! sebentar tadi. 

Shamsul menambah, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk bedah siasat. 

Jelas beliau, lima lagi pemandu yang berusia 31 hingga 48 tahun masing-masing melibatkan empat buah treler dan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton tidak mengalami sebarang kecederaan. 

"Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca kemalangan dengan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - K! ONLINE