Dalam kejadian tersebut, mangsa yang dikenali sebagai Nuri, 42, maut di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di kepala selain tersepit di dalam jentera berat itu. 

Difahamkan, kejadian tersebut disedari rakan-rakan mangsa yang bertindak mencari lelaki itu di ladang berkenaan setelah dia tidak muncul untuk mengangkat buah kelapa sawit sejak pukul 8 pagi.

Pencarian mereka yang bermula pada pukul 3 petang itu akhirnya menemui mangsa yang ketika itu berada dalam keadaan tidak sedarkan diri dan tersepit di tempat pemandu traktor berkenaan.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Hutan Melintang, Rosli Wan Chik berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 4.18 petang.

“Sepasukan tujuh anggota bergegas ke tempat kejadian bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit. 

"Bomba terpaksa memotong pokok tersebut kepada beberapa bahagian dan mengangkatnya dari atas traktor itu menggunakan jengkaut bagi membolehkan mangsa dikeluarkan dari kenderaan terbabit,” katanya ketika dihubungi Kosmo! sebentar tadi. 

Tambah Rosli, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. 

“Operasi tamat sepenuhnya pada pukul 7.35 petang," katanya. - K! ONLINE