Tertuduh, Mohamad Amirul Asnil Mat Pandir, 21, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Che Noralashiken Abd. Razak.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang bekerja sebagai pekerja kantin kilang itu didakwa mendera anak keduanya, Nur Kayra sehingga mengalami kecederaan pendarahan dalam otak di sebuah rumah di Kampung Paya Baru, Kamunting di sini pada pukul 3 petang 2 Februari lalu.

Tertuduh yang merupakan bapa kepada dua anak itu didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang boleh dihukum denda sehingga RM50,000 atau penjara tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Safiyatun Ahmadun manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Safiyatun mencadangkan wang jaminan RM10,000 terhadap tertuduh manakala tertuduh memohon wang jaminan tersebut dikurangkan tanpa sebarang alasan.

Mahkamah menetapkan tertuduh diikat  jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin dan kes disebut semula pada 21 Mac depan.

Kosmo! pada 7 Februari lalu melaporkan, seorang bayi perempuan berusia enam bulan meninggal dunia di Hospital Taiping di sini dipercayai akibat didera.

Ibunya bagaimanapun mendakwa kejadian tersebut berlaku selepas anak bongsu daripada dua beradik itu terjatuh daripada buaiannya.

Namun, laporan pengimbasan tomografi berkomputer yang dilakukan pihak hospital menunjukkan mangsa mengalami pendarahan pada otak dan dalam mata. - K! ONLINE