Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Telok Kemang, Mohd. Kamal Mohd. Timar berkata, pejabat itu terletak di tingkat empat salah sebuah bangunan di pusat pengajian tersebut.

"Kami terima maklumat tentang kebakaran itu pada pukul 6.15 pagi dan tiba di lokasi kejadian kira-kira enam minit kemudian. 

"Api sedang marak membakar semua peralatan dan kelengkapan dalam pejabat itu apabila kami tiba," katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Mohd. Kamal berkata, seramai 21 pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Telok Kemang, Port Dickson dan Seremban 2 terlibat dalam kerja-kerja memadamkan kebakaran itu.

Jelasnya, kejadian itu mula-mula disedari oleh salah seorang pengawal keselamatan politeknik berkenaan dan tiada sebarang kecederaan dilaporkan dalam insiden tersebut.

"Kami tutup tingkat empat bangunan itu. Tingkat satu hingga tiga tidak ditutup kerana masih selamat untuk digunakan manakala punca kebakaran dan nilai kerugian masih dalam siasatan," katanya. - K! ONLINE