Kejadian pukul 10.45 pagi itu disedari oleh seorang kakitangan pejabat berkenaan yang baru sahaja ingin memulakan kerja.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd. Yusoff berkata, sejurus masuk ke pejabat berkenaan untuk memulakan kerja, pekerja lelaki berusia 37 tahun itu terkejut apabila melihat keadaan pejabat berselerak.

“Apabila dia memasuki pejabat itu kebanyakan barang sudah berselerak di lantai khsususnya di tingkat dua dan tiga premis berkenaan. Peti besi yang menempatkan barang kemas, jam, komputer riba dan wang tunai juga sudah dibuka di mana kesemua barang tersebut telah hilang.

“Suspek dipercayai telah memasuki pejabat berkenaan melalui sebuah tingkap di bilik mesyuarat yang berada di aras paling bawah. Anggaran kerugian barang yang hilang di dalam peti besi itu adalah sebanyak RM370,000,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Ahmad Dzaffir menambah, pihak forensik turut tiba ke lokasi kejadian untuk melakukan siasatan awal.

“Namun begitu, walaupun premis mempunyai rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) tetapi ia tidak jelas dan saksi bebas juga tiada ketika kejadian berlaku,” ujarnya. - K! ONLINE