Menurut Datuk Sharudin Ali, perkara itu dimaklumkan oleh SPRM dalam hujahnya ketika meminta sambungan reman ke atas Hasanah yang ditahan berhubung kes salah guna dan penyelewengan dana milik kerajaan bagi peruntukan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) di Mahkamah Majistret di sini hari ini.

"SPRM membuat permohonan untuk menyambung tempoh reman Hasanah selama tujuh hari atas alasan lain iaitu mengesan dua putera Arab Saudi yang dipercayai terlibat dalam kes ini dan mahu menggeledah rumah Hasanah bagi mengesan beberapa jam tangan mewah dan baki jumlah wang berkaitan kes yang masih belum ditemui.

"Bagaimanapun, mahkamah membenarkan Hasanah disambung reman selama satu hari sahaja sehingga 5 petang," katanya ketika ditemui di mahkamah di sini hari ini.

Jelas Shaharuddin, selain itu dalam prosiding reman tersebut SPRM turut mendakwa mahu mmebawa pulang tiga individu dari Abu Dhabi yang terlibat dalam kes sama.

"Hasanah dalam keterangannya di mahkamah memberitahu beliau hanya menjalankan tugas di bawah perintah kerajaan Malaysia selain turut menafikan pembabitan Hishammuddin dan dua putera Arab Saudi dalam kes ini," katanya. - K! ONLINE