Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, wanita berusia 47 tahun itu kerugian sejumlah wang berkenaan apabila melakukan satu transaksi ke sebuah akaun sindiket berkenaan kononnya bagi membersihkan nama pengadu.

“Menurut laporan polis yang dibuat pada 16 Januari lalu, mangsa mendakwa dirinya menerima panggilan daripada seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai pegawai kastam dan menyatakan mangsa mempunyai tunggakan cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) bernilai RM16,000 serta terlibat dengan kes jenayah di Kedah.

“Panggilan tersebut seterusnya disambung ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah dan dijawab seorang lelaki yang mendakwa mangsa mempunyai kes jenayah di sana. Mangsa yang ketakutan bertindak memindahkan wangnya kepada akaun itu dan sehari selepas itu, mangsa menyedari dirinya ditipu selepas semua  panggilan tidak berjawab” katanya pada sidang akhbar di  IPK Kuala Lumpur di sini hari ini.

Mazlan menambah, bertindak atas maklumat dan risikan, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi telah melakukan serbuan pada 24 Julai lalu di salah satu unit sebuah kondominium di Jalan Kuchai Maju 12, Jalan Kuchai Lama di sini.

“Polis berjaya menahan empat lelaki warga Taiwan berusia antara 27 hingga 35 tahun yang dipercayai terbabit dalam sindiket Macau Scam.

“Polis turut merampas 56 keping kad ATM pelbagai bank, 15 unit telefon bimbit, satu unit modem, satu komputer riba dan enam keping kad sim,” ujarnya.

Kesemua suspek direman selama seminggu bermula 25 Julai lalu hingga hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dengan mendorong supaya harta diserahkan. - K! ONLINE