Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata, arahan tersebut dikeluarkannya kerana terdapat rungutan dalam kalangan anggota bahawa ada pegawai kanan termasuk berpangkat KPD mengarahkan mereka untuk keluar membuat kutipan sumbangan daripada individu dan syarikat.

“Walaupun amaran keras dan jelas sudah diberikan sebelum ini, tetapi masih ada pegawai yang mengerah anggota bawahan untuk mengumpul dana bagi kepentingan peribadi mereka.

“Jika sumbangan itu adalah wang kelab atau kutipan antara mereka tidak mengapa tetapi jika meminta dari individu atau syarikat, saya tidak izinkan,” katanya  ketika ditemui selepas hadir pada Kempen Balik Kampung Op Selamat 15, di Plaza Tol Gombak arah timur, di sini hari ini.

Abdul Hamid menambah, masyarakat tidak akan berkecil hati atau memprotes jika polis tidak menjalankan rumah terbuka Aidilfitri
 
“Namun begitu, terdapat sesetengah pegawai yang menganggap ia satu kejayaan kerana boleh menganjurkan majlis hari raya di balai dengan menyediakan makanan mewah namun amat memalukan kerana wang itu diperoleh dari sumber luar.

“Lebih memburukkan lagi apabila ia datang dari sumber yang tidak halal,” ujarnya.

Hari ini, Abdul Hamid mengeluarkan kenyataan yang mengarahkan pegawainya untuk menghentikan aktiviti tersebut atau boleh dikenakan tindakan.

Menurutnya, tindakan itu menjengkelkan apabila ada yang mendakwa kutipan tersebut untuk golongan asnaf 

Beliau memberi amaran bahawa tindakan keras akan diambil terhadap mereka yang didapati terlibat.

Beliau berkata demikian sebagai respon kepada satu status tular di media sosial mengenai dakwaan terdapat dalam kalangan pegawai polis yang mengutip dana untuk mengadakan jamuan pada sambutan Aidilfitri nanti. - K! ONLINE