Perintah reman sehingga Ahad ini terhadap kedua-duanya dikeluarkan oleh Majistret Low Wen Zhen di Mahkamah Majistret di sini sebentar tadi.

Perintah reman itu bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Seksyen tersebut memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Terdahulu, kedua-dua lelaki itu tiba di Mahkamah Majistret dengan berpakaian lokap SPRM dan tangan bergari pada pukul 9.20 pagi.

Menurut sumber, pegawai kanan itu ditahan SPRM di pusat membeli-belah sekitar Putrajaya semalam dipercayai ketika menerima wang tunai berjumlah RM50,000 iaitu baki jumlah suapan yang sepatut diterimanya.

Kata sumber itu lagi, dia didakwa menerima wang suapan itu secara berperingkat sejak 2015 oleh syarikat terlibat sebagai ganjaran kerana memberi projek berkenaan.

Projek itu merupakan satu usaha kerajaan dalam memperluas jaringan komunikasi dan multimedia khususnya bagi kawasan dan masyarakat yang kurang mendapat perkhidmatan itu. - K!ONLINE