Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, merujuk kepada kenyataan Tunku Ismail di laman sosial Facebook rasminya yang bertajuk ‘My father and I are being monitored’, tiada sebarang pemantauan dijalankan oleh pihaknya.

“Saya memberi jaminan bahawa perkara berkenaan tidak berlaku.

“Pihak saya akan memohon perkenan ke bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Johor mengadap baginda untuk memaklumkan berkenaan perkara tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kosmo! Online sebelum ini melaporkan Tunku Ismail Sultan Ibrahim mendakwa dirinya serta ayahandanya, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar sedang diperhatikan.

Tunku Ismail dalam satu kenyataan memberitahu bahawa ramai tentera siber atau pengintip (cybertrooper) sedang memerhati terutama­nya dalam laman Facebook rasmi Johor Southern Tiger serta laman peribadi seperti Official Sultan Ibrahim dan HRH Crown Prince of Johor.

Menurut baginda, tindakan pengintip ini dilakukan atas perasaan kurang senang oleh beberapa pihak atasan.

“Baru-baru ini saya telah dihampiri oleh seorang individu untuk membeli sebuah peralatan yang mana ia juga dimiliki oleh kerajaan. Alat buatan Israel ini digunakan untuk pengintipan serta mengumpul data selain digunapakai sebelum pilihan raya untuk membantu dalam perang siber.

“Beberapa orang pegawai kerajaan telah berjumpa dengan saya dengan menyatakan bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Unit Khas, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia  dan Pejabat Perdana Menteri turut menggunakan peralatan ini,” titah baginda kelmarin. - K! ONLINE