Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim turut menyatakan pihaknya juga tidak memantau media sosial milik Tunku Ismail termasuklah e-mel baginda.

Katanya, PDRM kini lebih memberi tumpuan kepada pemantauan aktiviti yang lebih menjurus kepada yang berkaitan dengan keselamatan negara seperti kumpulan ekstremis dan pengganas.

"Di sini saya tegaskan yang kita tidak memantau mana-mana peralatan komunikasi baginda serta media sosial miliknya. Kita sudah mempunyai banyak urusan yang perlu dilakukan seperti memantau kumpulan penculikan, ekstremis dan sebagainya.

"Kita tidak membuat kerja pemantauan sedemikian kecuali jika ada yang memerlukannya termasuklah yang berkaitan dengan soal keselamatan," katanya kepada pemberita di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dekat sini hari ini. - Bernama