Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur sudah memberikan kebenaran kepada penganjur untuk mengadakan himpunan tersebut.

“Kita akan buat persediaan yang perlu untuk memastikan himpunan itu mengikut saluran undang-undang dan tidak menimbulkan sebarang kekecohan serta masalah keselamatan.

“PDRM akan mengeluarkan surat kebenaran kepada penganjur untuk mengadakan himpunan itu sama ada hari ini atau esok,” katanya pada sidang akhbar Majlis Konvokesyen Kolej Unikop di Maktab PDRM, Cheras di sini hari ini.

Fuzi menambah, kebenaran bagi mengadakan himpunan itu diberikan DBKL kerana kawasan penganjuran di bawah bidang kuasanya.

“Pemantauan rapi akan dijalankan supaya tiada sebarang kekecohan berlaku dan kita juga telah ingatkan penganjur untuk tidak melanggar peruntukan undang-undang.

“Pihak DBKL juga telah mengenakan syarat tertentu dan penganjur perlu mematuhi syarat-syarat yang telah ditentukan itu,” ujarnya. - K! ONLINE