Presiden PBS, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan berkata, PBS akan menubuhkan Gabungan Bersatu yang memberi peluang kepada semua wakil rakyat kerajaan negeri  untuk menjadi ahli seterusnya melaksanakan kesinambungan politik dan berkhidmat untuk rakyat Sabah.

Menurutnya, platform itu merupakan perjanjian kerjasama politik yang akan ditandatangani dan disertai semua parti seperti UMNO, Pertubuhan Pasok Momogun Kadazan Dusun Murut Bersatu (UPKO), PBS dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS). 

“Berdasarkan keputusan pilihan raya umum kali ini, sama ada di peringkat negeri mahupun Persekutuan jelas menunjukkan BN tidak lagi menjadi gabungan politik yang berdaya maju. 

“Justeru, PBS mengambil inisiatif menawarkan platform baharu bagi memperkukuhkan hubungan politik antara semua parti di Sabah,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), UMNO memenangi 16 kerusi, PBS enam kerusi, UPKO lima kerusi manakala PBRS satu kerusi.

Kesemua parti tersebut bertanding atas tiket BN Sabah. - K! ONLINE