Presidennya, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, beliau akan mengadakan pertemuan dengan tiga presiden parti komponen BN lain di negeri itu bagi membincangkan hala tuju parti asal Sarawak demi kepentingan rakyat di Bumi Kenyalang.

Jelas beliau yang juga Pengerusi BN Sarawak, PBB tidak akan menyertai Pakatan Harapan (PH), namun menjadi parti yang mesra dengan kerajaan Persekutuan demi kepentingan dan masa depan rakyat negeri itu.

"PBB akan kekal strategik dan bebas untuk meneruskan peranan melindungi kepentingan negeri ini sebagai berasaskan gabungan parti  Sarawak.

"Bagaimanapun, pertemuan serta perbincangan dengan parti-parti komponen BN negeri ini belum ditetapkan kerana Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) baru sahaja berlalu," katanya semasa sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) PBB di Ibu Pejabat PBB di sini hari ini.

Dalam pada itu, Abang Johari yang juga Ketua Menteri memberitahu, kerajaan negeri yang merupakan kerajaan memerintah Sarawak ketika ini akan meneruskan mandat seperti yang digariskan dalam manifesto BN Sarawak dalam Pilihan Raya Negeri ke-11 (PRN-11) pada 2016.

"Kerajaan negeri akan terus memajukan kawasan luar bandar dan memenuhi tuntutan hak-hak Sarawak dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63)," ujarnya lagi. - K! ONLINE