Kapal tersebut dipercayai berlepas dari perairan Batam, Indonesia pada pukul 4.45 petang semalam.

Sebaik tiba di terminal tersebut, difahamkan satu pasukan daripada Mahkamah Tinggi akan melakukan pemeriksaan terlebih dahulu sebelum mesyuarat diadakan antara pihak berkuasa.

Pihak media juga tidak benarkan berada berdekatan kapal tersebut bagi mengelakkan sebarang kerosakan yang akan menurunkan nilai kapal itu yang berharga RM1billion selepas ia dipercayai akan dijual atau dilelong oleh kerajaan Malaysia.

Bagaimanapun, pihak media akan dibenarkan mengambil gambar atau video dari jarak yang akan ditentukan oleh pihak berkuasa.

Kapal yang dikaitkan dengan syarikat pelaburan 1Malaysia Development Bhd. (1MDB) itu sebelum ini ditahan oleh pihak berkuasa Indonesia berhubung siasatan oleh Jabatan Keadilan (DoJ) Amerika Syarikat.

Kerajaan Indonesia menyerahkan kapal berkenaan kepada kerajaan Malaysia atas permintaan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad semasa kunjungannya ke negara berkenaan pada Jun lalu.

Mahathir dalam kenyataannya melalui akaun Facebook miliknya semalam menzahirkan penghargaan kepada Presiden Indonesia, Joko Widodo dan pihak berkuasa Indonesia kerana menyerahkan kapal mewah Equanimity kepada Malaysia. - K! ONLINE