Ketua Polis Selangor Datuk Mazlan Mansor berkata, pasukan yang bertugas 24 jam itu digerakkan sejurus pihaknya mendapat laporan berhubung kehilangan unit projektor tersebut.

"Setakat ini polis belum mendapat sebarang petunjuk baharu mengenai kehilangan unit tersebut.

"Kita juga belum menerima sebarang maklumat sama ada alat itu telah dibawa keluar dari Selangor," katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Korban Perdana di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kehilangan alat tersebut supaya menghubungi pegawai penyiasat Asisten Superintendan Yong Meng Heng di talian 019-5753399 atau balai polis berdekatan.

Pada 10 Ogos lepas, unit projektor radiografi berkenaan dilaporkan hilang ketika dibawa pulang oleh dua juruteknik sebuah syarikat dari Seremban ke Shah Alam antara pukul 2 dan 3 pagi.

Alat yang memancarkan radiasi Beta dan Gamma itu dikhuatiri disalah guna termasuk oleh pengganas bagi membuat bom. - Bernama