PTK yang dibina di atas tanah seluas satu ekar adalah antara komitmen Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dalam menyediakan lokasi berniaga yang selesa dan kondusif untuk para peniaga setempat.

Pengerusi FAMA, Tan Sri Badruddin Amiruldin berkata, tapak PTK merupakan pemangkin dalam usaha pihaknya membangunkan daerah Tenom sebagai pusat penghasilan produk hiliran.

"Pasar ini sebagai asas utama kepada perancangan jangka masa panjang FAMA untuk menghasilkan produk hiliran di sini.

"Kami mempunyai pelbagai perancangan di tapak PTK ini termasuk membina sejumlah kedai yang akan menjual produk berasaskan buah-buahan tempatan," katanya hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Kosmo! selepas menghadiri Majlis Pelancaran Pasar Tani Kekal di sini.

Hadir sama, Ketua Pengarah FAMA, Datuk Ahmad Ishak dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemabong, Datuk Rubin Balang.

Menariknya, pembinaan pasar tersebut turut menerima sumbangan satu ekar tanah tajaan tajaan Rubin.

PTK mengekalkan konsep pasar tamu yang mana peniaga menjaja di bawah satu bumbung termasuk menempatkan pasar tani mingguan FAMA yang beroperasi setiap hari Selasa. - K! ONLINE