Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pertanian dan Industri Asas Tani serta Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr. Afif Bahardin berkata, arahan itu dikeluarkan Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang selepas pemeriksaan yang dijalankan mendapati alatan berkenaan adalah antara punca penularan penyakit tersebut.

Beliau berkata, arahan itu dikeluarkan pada 20 Julai lepas dan premis terlibat disaran menggunakan larutan peluntur pada nisbah 1:10 iaitu satu bahagian peluntur dan 10 bahagian air.

"Ya betul memang ada arahan sedemikian seperti yang tular di media sosial macam saya sebut sebelum ini, penularan HFMD bukan sahaja melalui troli di pasar raya atau pusat beli-belah malah menerusi tempat permainan kanak-kanak yang terdapat di situ.

"Jadi saya harap pemilik dan operator pasar raya serta pusat beli-belah terlibat mematuhi arahan yang telah dikeluarkan dengan membersihkan premis perniagaan mereka supaya dapat membendung penularan penyakit HFMD di Pulau Pinang," katanya kepada pemberita selepas Majlis Sesi Makan Durian Bersama Pengamal Media di Pusat Pertanian Relau, Bayan Lepas dekat sini. - Bernama