Ketua Dewan Ulama Pas Kelantan, Datuk Hassan Mohamood berkata, walaupun parti itu bersetuju dengan langkah Kerajaan Persekutuan dalam mencari penyelesaian terbaik berhubung perkara tersebut namun dalam masa yang sama Pas yakin hanya RUU355 dapat menyelesaikan masalah sosial yang melanda umat Islam ketika ini.

"Kita setuju memperkasa (Mahkamah Syariah secara holistik) tapi dalam memperkasa pun, RUU355 ini mesti diutamakan sebab matlamat kita nak perkasa Mahkamah Syariah ini supaya masalah-masalah yang berbangkit seperti gejala sosial dapat dikurangkan seterusnya dapat dihapuskan.

"Salah satu caranya (menghapuskan gejala sosial) adalah menerusi pelaksanaan RUU355," katanya ketika ditemui pemberita di Kompleks Kota Darul Naim di sini, hari ini.

Rabu lepas, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa dilaporkan berkata jawatankuasa yang ditubuhkan antara pentadbiran kerajaan Persekutuan terdahulu dan kerajaan negeri dalam membincangkan RUU 355 kini tidak lagi berfungsi.

Mujahid dipetik sebagai berkata dasar kerajaan baharu melihat Mahkamah Syariah dalam kerangka yang lebih holisitik dan lebih melihat kepada intipati dari segi hakim, penguatkuasaan, infrastruktur dan lain-lain. - Bernama