Pemuda berusia 24 tahun berkenaan mengalami kecederaan parah selepas dipukul semasa kekecohan di sebuah kuil di Subang Jaya minggu lepas.

IJN berkata, Muhammad Adib menunjukkan perkembangan yang baik sejak sistem sokongan hayatnya ditukar kepada sistem Veno-Venous ECMOpada 2 Disember lalu.

"Beliau semakin kurang memerlukan sokongan oksigen dan ventilator sejak malam tadi. Beliau boleh menerima makanan menerusi tiub naso-gastric yang menyalurkan 90 peratus keperluan hariannya," demikian menurut kenyataan itu.

Bagaimanapun IJN berkata, buah pinggang Muhammad Adib masih memerlukan sokongan mesin dialisis sekalipun parameter darah renal sudah bertambah baik.

"Beliau kini menjalani rehabilitasi pulmonari dan senaman anggota badan dengan ahli fisioterapi kami," katanya.

IJN berkata, Muhammad Adib dan kedua ibu bapanya berterima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia atas sokongan dan galakan termasuk doa agar beliau sembuh.

Dilaporkan Muhammad Adib dipukul oleh sekumpulan individu ketika terlibat dalam kerja memadam kebakaran berhampiran kuil itu pada 27 November lalu. - Bernama