Beliau berkata, ia sejajar dengan tujuan MUET yang diperkenalkan pada 1999 iaitu bagi mengisi jurang pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua pada peringkat prauniversiti serta  memperkukuh dan mempertingkat kebolehan bahasa Inggeris pelajar.

"Tambahan pula,  MUET  telah disejajarkan dengan Common European Framework of Reference for Languages(CEFR) dan telah diterima pakai sebagai syarat kemasukan oleh beberapa universiti luar negara...sama kedudukannya dengan  ujian International English Language Testing System(IELTS)  dan Test of English as a Foreign Language(TOEFL)," katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Shabudin Yahaya (BN-Tasek Gelugor) yang ingin tahu status peperiksaan Bahasa Inggeris MUET sama ada akan dikaji semula atau diteruskan.

Menjawab soalan tambahan Shabudin mengenai universiti awam yang mensyaratkan tahap-tahap tertentu bagi MUET sehingga menyebabkan ada pelajar cemerlang tidak layak memohon kursus diinginkan, Teo berkata Senat Universiti mempunyai autonomi penetapan syarat minimum kursus-kursus tertentu.

"Ada universiti  yang menetapkan syarat minimum MUET pada  tahap 4, 5 dan 6. Ini memang berlaku kerana memang ada keperluan dan kebanyakan bahan rujukan adalah dalam bahasa Inggeris dan kursus dijalankan dalam bahasa Inggeris," katanya. - Bernama