Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Hannah Yeoh berkata, kajian yang dijalankan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) pada 2014 menunjukkan peratusan punca perceraian bagi lelaki kerana tiada persefahaman adalah 56.2 peratus, isteri curang (11.8 peratus) dan campur tangan mentua atau ipar-duai (10 peratus). 

"Bagi wanita pula, sebanyak 38 peratus menyatakan kerana tiada persefahaman diikuti suami curang (20.5 peratus) dan suami tidak bertanggungjawab (15.2 peratus).

"Merujuk kepada Kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia Kelima (KPKM-5) yang dijalankan LPPKN  pada 2014, lebih satu pertiga perkahwinan pertama yang berakhir dengan perceraian atau perpisahan berlaku dalam tempoh lima tahun pertama usia perkahwinan," katanya.

Beliau menjawab pertanyaan Noor Amin Ahmad (PH-Kangar) mengenai jumlah kes perceraian direkodkan pasangan di bawah usia perkahwinan lima tahun, punca utama perceraian dan langkah bagi menangani permasalahan itu.

Yeoh yang juga Anggota Parlimen Segambut berkata sebanyak 2,932 kes perceraian di bawah usia perkahwinan lima tahun bagi orang Islam di ketiga-tiga Wilayah Persekutuan direkodkan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) pada 2013 hingga tahun lalu.

Sementara itu, bagi bukan Islam pula sebanyak 14,440 kes direkodkan bagi tempoh sama menurut statistik Jabatan Pendaftaran Negara.

"Bagi bukan Islam, Johor mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 2,860 kes bagi tempoh berkenaan, diikuti Kuala Lumpur (2,721) dan Selangor (1,858)," katanya.

Yeoh berkata berdasarkan kes yang difailkan, perceraian pada usia muda berpunca daripada perkara remeh seperti isteri suka mengikuti rombongan beramai-ramai, isteri suka membasuh baju pada waktu malam, suami tidak suka isteri makan di dalam kereta, berbeza fahaman politik, gaji suami lebih rendah dan pasangan tidur berdengkur.

Justeru katanya, untuk terus memantapkan institusi perkahwinan dan kekeluargaan, kementerian itu melalui LPPKN telah melaksanakan program pra dan pasca perkahwinan terutamanya kepada pasangan muda yang baru berkahwin.

Kementerian itu juga sedang dalam perbincangan mengenai kursus sedemikian untuk diikuti pasangan bukan Islam mengikut kepercayaan agama masing-masing. - Bernama