Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, ini kerana Perkara 66 (4A) Perlembagaan Persekutuan berkaitan hal berkenaan, telah dipinda tiga kali sebelum ini.

"Akta itu telah dipinda tiga kali melalui Akta Perlembagaan (Pindaan) 1983, 1984 dan 1994. Pindaan yang dibuat pada 1994 ke atas 4 dan 4A Perkara 66 bertujuan memastikan satu RUU tidak ambil masa terlalu lama untuk menjadi undang-undang setelah diluluskan (Dewan Rakyat dan Negara) dan dipersembahkan untuk diperkenankan Yang di-Pertuan Agong.

"Dengan pindaan itu, melainkan hal-hal yang menyentuh keistimewaan raja-raja, RUU tetap akan menjadi RUU setelah habis tempoh 30 hari diluluskan Parlimen," katanya menjawab soalan Datuk Seri Ismail Mohamed Said (BN-Kuala Krau) semasa sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Perdana Menteri berkata, peruntukan Fasal 4 dan 4A menghapuskan segala keraguan berkaitan hak Parlimen dalam membuat RUU selain menolak keraguan Parlimen sebenarnya tidak berkuasa dan negara diperintah raja-raja yang mempunyai kuasa mutlak dan tidak tertakluk kepada Perlembagaan. - Bernama