Mohamad Ariff menjelaskan bahawa penolakan itu dibuat berdasarkan Peraturan Mesyuarat 18 di bawah Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat, bagaimanapun, membenarkan kandungannya dibacakan di Dewan Rakyat selepas Sesi Soal Jawab Lisan hari ini.

"Seperti kita semua sedia maklum ada tiga keperluan yang perlu dipenuhi jadi setelah menimbang keadaan sekeliling dan respons pihak-pihak tertentu saya tak anggap perkara ini sebagai satu perkara perlu disegerakan dalam konteks semasa," katanya sebaik selesai kandungan usul dibaca Anwar.

Anwar ketika membaca kandungan usul itu menegaskan bahawa isu ini telah menimbulkan keresahan rakyat, justeru ia tidak boleh diketepikan semata-mata kerana kerajaan telah membuat keputusan.

"Saya tegaskan di sini, ada seolah-olah juxtaposition of idea, ada katakan penolakan ICERD seolah-olah kita halalkan diskriminasi, sebab itu para pertama usul saya ini menegaskan, kita sebagai negara, menjadikan keadilan sebagai tonggak, menolak sebarang bentuk diskriminasi dalam negara," katanya - Bernama