Menteri Pendidikan, Maszlee Malik berkata, pihaknya menerima 5,573 permohonan pertukaran guru dari Sabah dan Sarawak ke Semenanjung sementara 873 permohonan dari Semenanjung ke negeri tersebut.

"Kami masih menggunakan SOP sedia ada iaitu berdasarkan beberapa kriteria seperti kepentingan perkhidmatan, kekosongan jawatan di negeri yang dimohon dan keperluan opsyen di negeri yang dimohon.

KPM juga memberi keutamaan kepada permohonan guru atas alasan mengikuti pasangan dan kami turut mempertimbangkan permohonan kes lain seperti sakit kronik dan ancaman keselamatan," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Maszlee menjawab soalan Datuk Seri Mahdzir Khalid (BN-Padang Terap) yang ingin tahu sama ada KPM membekukan permohonan guru dari Sabah dan Sarawak untuk pulang ke Semenanjung Malaysia. - Bernama