Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd. Azis Jamman berkata, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) hanya merekodkan status seseorang individu sebagai warganegara atau bukan warganegara berdasarkan  kepada status perkahwinan dan taraf kewarganegaraan ibu bapa sewaktu kelahiran berlaku.

"Saya seru rakyat Malaysia (yang) berani kahwin (agar) berani daftar (dan)  berani tanggung  sebab implikasi akan berlaku kepada anak-anak," katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Ngeh Koo Ham (PH-Beruas) mengenai inisiatif kerajaan berhubung kanak-kanak tanpa kewarganegaraan selepas ibu warga asing kanak-kanak tersebut tidak mendaftarkan perkahwinan mereka dengan bapa yang merupakan warganegara Malaysia.

Mohd. Azis berkata, bagi kes ibu bukan warganegara dan lewat mendaftar perkahwinan, pasangan berkenaan boleh membuat permohonan kewarganegaraan anak mereka kepada JPN di bawah Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan. - Bernama