"Setakat pagi ini, kementerian tidak menerima apa-apa usul, dokumen rasmi ataupun surat untuk PPN dibubarkan," katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Khairy Jamaluddin (BN-Rembau) berhubung pendirian dan langkah intervensi kementerian terhadap syor  PPN dibubarkan didakwa berpunca daripada perubahan struktur Ahli Jemaah Pengarah pertubuhan itu.

Sebelum ini, media melaporkan Pengerusi PPN Kedah, Datuk Abdul Lateh Mohd. Saman mengesyorkan PPN dibubar kerana agensi itu kini dikatakan berhadapan dengan terlalu banyak campur tangan politik. Pengerusi PPN negeri-negeri lain dikatakan turut berkongsi pandangan Abdul Lateh.

Salahuddin berkata, kementeriannya akan menyelesaikan kelewatan pengagihan surat lantikan ahli Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) pada bulan ini.

"Hujung minggu ini saya akan tandatangan semua senarai nama yang dikemukakan dan Insya-Allah selepas itu PPK boleh terus berniaga, melakukan aktiviti," katanya menjawab soalan tambahan Khairy yang ingin tahu bilakah kelewatan lantikan PPK ini akan diselesaikan. - Bernama