Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, Malaysia terus meneliti langkah-langkah yang dikatakan diambil kerajaan Myanmar untuk menyiasat kes pelanggaran hak asasi manusia yang dilaporkan melibatkan negara berkenaan.

Justeru, katanya, Malaysia telah mencadangkan supaya isu penindasan etnik Rohingya dikemukakan kepada mana-mana mahkamah antarabangsa.

Pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini, Saifuddin menarik perhatian bahawa pada masa ini satu proses penyiasatan telah dimulakan Mahkamah Jenayah Antarabangsa.

"Dalam hal ini, Malaysia berpandangan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) juga berperanan untuk merujuk isu Rohingya kepada proses kehakiman antarabangsa, termasuk dalam menubuhkan tribunal antarabangsa dengan mandat khas," katanya.

Namun, katanya, negara pemegang kuasa veto atau P5 dijangka tidak akan bersepakat berhubung perkara ini.

Negara P5 terdiri daripada Amerika Syarikat, United Kingdom, Perancis, China dan Russia.

"Bagaimanapun, Malaysia akan terus menggembeleng tenaga dengan negara-negara yang sependirian untuk memastikan keadilan berpihak kepada etnik Rohingya," katanya.

Beliau menjawab soalan Ahmad Tarmizi Sulaiman (Pas-Sik) yang meminta kementerian menyatakan langkah serantau khusus melalui ASEAN untuk membawa pihak yang bertanggungjawab di Myanmar ke muka pengadilan antarabangsa akibat pembunuhan dan pelanggaran hak asasi manusia terhadap etnik Rohingya di Myanmar. - Bernama